Sunday, July 03 @ 12:53:22 MYT
Oleh Cik Som
Saya akan berterima kasih yang tidak terhingga dan merasa bangga dengan kerajaan Islam Hadhari, yang begitu mengambil berat tentang golongan ini. Selama ini, ramai yang memandang hina kepada kami, kami dikatakan sampah masyarakat. Tetapi dengan tindakan kerajaan akhir-akhir ini, kami tidak lagi rasa tersisih.
Ramai sedia maklum, di seluruh negara terdapat banyak pusat-pusat pemulihan dadah. Bagi kami, amat beruntunglah jika dapat dihantar ke situ. Di situ, kami tidak lagi perlu memikirkan soal makan minum dan tempat tinggal, kerana semua itu disediakan dari wang rakyat.
Walaupun segalanya ala kadar, tapi bagi kami, makan minum di situ amat lazat, katilnya amat empuk jika hendak dibandingkan dari tidur di kaki-kaki lima atau di bawah jambatan yang kadang kala hampir kebuluran kerana tiada makanan.
Tapi jangan anggap mereka di pusat pemulihan tidak dapat menagih. Ramai yang telah membaca berita bagaimana terdapatnya 'pintu' keluar masuk dari pusat-pusat tersebut. Untuk apa mereka itu keluar masuk, jika tidak untuk mendapatkan bekalan?
Pengumuman kerajaan baru-baru ini berkenaan pemberian jarum, kondom dan dadah metadon secara percuma, menambahkan lagi kegembiraan kami ini. Inilah tanda keprihatinan kerajaan ke atas kami. Walaupun kami ini bukanlah golongan pembayar cukai, tetapi kami amat beruntung kerana mendapat subsidi jarum, kondom serta dadah metadon.
Sedangkan pada masa yang sama kerajaan bercadang untuk menghapuskan subsidi diesel dan mengurangkan subsidi petrol, yang kononnya bagi mewujudkan satu masyarakat yang tidak bergantung kepada subsidi.
Selepas jarum,kondom dan metadon, kami mintak jasa baik kerajaan untuk menyediakan pula pusat-pusat menagih dadah yang sah. Media baru saja menyiarkan berita yang mengejutkan kami, di mana rakan kami tertangkap kerana menagih di dalam bilik darjah sekolah. Ini sebenarnya amat memalukan kami semua.
Ini adalah isyarat jelas menunjukkan yang kami ini memerlukan tempat menagih yang lebih selesa. Menyediakan tempat menagih boleh dianggap sebagai "menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan".
Setelah pusat-pusat pemulihan, jarum, kondom serta metadon percuma, pusat-pusat menagih tersebut akan melengkapkan keperluan kami dan menjadikan kami penagih dadah yang beruntung di dalam dunia ini.
Terima kasih kerajaan di atas keprihatinan ini.
Namun sayangnya, saya bukanlah penagih dadah! - um