Maghrib
Mata masih lagi bengkak akibat berjaga malam semalam demi assignment yang perlu diserahkan pada hari yang sama. Kalau gemar menunggu saat akhir, inilah akibatnya, dan hasil pun tidak seberapa. Malah dalam membacanya semula, banyak saya rasa perlu saya elokkan.
Walau apapun, hidup tidak hanya berkitar mengelilingi assignment dan homework. Bahkan bukan lebih dari itu. Malangnya dalam kemasyghulan kehidupan seharian, sungguh mudah untuk diperdaya sebaliknya. Sehinggakan kerja bertakhta di jiwa.
Di sini, Solat seolah satu ingatan personal Allah swt kepada tiap muslim. Ya, kamu sibuk; Ya kamu kerja, tapi jangan lupa, kamu tetap hambaKu, dan hidup matimu untukKu. Dan apabila, muslim-muslim ini beramai-ramai berjemaah di masjid-masjid, musolla-musolla, peringatan ini menjangkaui batas pribadi dan menjadi satu notis umum kepada semua manusia yang mempunyai mata, telinga dan minda yang sihat akan hakikat hidup kita.
Namun masjid-masjid kita lengang. Majlis-majlis ilmu hanya dihadiri mereka yang senja. Malah, penayangan filem, yang dianggap mampu menarik minat khalayak, dihadiri kurang dari sepuluh orang.
Mungkin silapnya pada kita, dan bukanlah perjuangan itu demi hasil tetapi tidakkah terkesan kita apabila merenungi keadaan ini?
Sejak beberapa hari yang lalu, al-quds diganyang rejim zionis. Hancur musnah
Di dalam tulisannya yang terkini, rakan saya ada menyatakan bagaimana semangat yang membuak-membuak tak selalunya berupaya diterjemahkan kepada tindakan, meskipun pada perkara-perkara picisan, “sebaldi” ayam misalnya. Seperti yang dilakonkan pelajar-pelajar Melayu
a) Memeterai perjanjian demi perjanjian yang tidak membawa kesan
b) Memekik-mekik dan berdemonstrasi, dengan sepanduk yang kian membesar
c) Berpeluk tubuh dan tidak mengambil kisah, kerana, kalau kita fikirkan secara rasional, apa perlunya kita mengambil kisah dengan pak-pak arab di luar
Di sini bukanlah saya ingin mengkritik mana-mana pihak (kecuali mungkin kelompok c). Malah saya turut mengingatkan diri saya sendiri. Orang Melayu kata, “satu jari menuding ke orang, yang lain menuding ke diri.” Cuma ini manifestasi kekecewaan saya terhadap diri sendiri, terhadap suasana kini. Kita cuma bersimpati, yang “hanyalah secubit rasa/
Tidak mampu berdaya mematah peluru-peluru yang muntah/ Dari picul-picul mulut-mulut senjata angkara kita”[2]. Sebaliknya kita terus mengaku kita hidup berprinsip tetapi ia hanyalah umpama berikrar di perhimpunan setiap Isnin.
Dalam ketandusan tauladan kini, bagus juga kita sesekali mengimbau sejarah lampau (meskipun tiada dalam sukatan pelajaran) dan memperingati kembali perajurit-perajurit lama yang istiqamah dan bersungguh di dalam perjuangan mereka. Rasulullah (s.a.w) sendiri sudah tentu wajib kita contohi. Sahabat-sahabatnya umpama Mus’ab bin Umair, Abu Dzar, Abu Bakar, Umar (Radhiallahu’anhum) memberi inspirasi. Tidak lupa jua pejuang-pejuang nusantara kita sendiri ,Cut Nyak Dhien, Dr. Burhanuddin, Tok Janggut. Selongkarlah kisah mereka. Perhatikan betapa mereka diuji, dan bandingkan dengan kita kini. Usahlah obses dengan hasil, yang penting mereka berusaha dan terus berusaha, sedangkan kita subuh pun entah ke mana. Mereka yakin tiada mati dengan syahid, kita tidak mahu mati.
Wang.Sekolah.Pelajaran.Makan.Af.WorldCup.Wanita.Kereta.Krecit.FonBimbit.Rumah.Tandas.Komik.iPod.Nike.Jerawat.Dockers.Prestij.KillerLoop.Elektrik.Streamyx.
Betapa kecilnya dunia jika hidup hanya untuk itu.
Jadi, ke mana dari sini?